Foto: AFP
NEGOMBO: Pihak berkuasa Sri Lanka akan mengenakan saman kepada pemilik kapal kargo Singapura yang terbakar sejak 11 hari berturut-turut berhampiran pantai barat negara itu yang menyebabkan antara pencemaran marin terburuk di negara itu.
Polis berkata, siasatan jenayah turut dijalankan terhadap kebakaran di atas kapal MV X-Press Pearl yang membawa 25 tan asid nitrik dan sejumlah besar bahan mentah plastik.
Kebakaran itu yang masih membara di bahagian belakang kapal sepanjang 186 meter, memusnahkan kebanyakan kargonya, dengan ada antaranya jatuh ke dalam Lautan Hindi.
Bertan-tan butiran mentah plastik turut memenuhi pantai Sri Lanka yang terkenal, hingga memaksa pelaksanaan sekatan penangkapan ikan dan mencetus kebimbangan kerosakan ekologi.
Pihak Berkuasa Perlindungan Persekitaran Marin (MEPA) Sri Lanka sudah bertemu dengan Peguam Negara, Sanjaya Rajaratnam hari ini bagi merangka tindakan undang-undang terhadap pemilik kapal kargo, anak kapal serta syarikat insurans.
"Kami sudah meneliti perinciannya dan akan mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab," kata Pengerusi MEPA, Dharshani Lahandapura kepada pemberita di Colombo.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan pihaknya masih belum membuat penilaian terhadap kerosakan alam sekitar, namun percaya ia adalah 'pencemaran marin terburuk' di Sri Lanka.
Ketua Tentera Laut Sri Lanka, Naib Laksamana Nishantha Ulugetenne, yang turut hadir dalam pertemuan dengan Peguam Negara, berkata kapal X-Press Pearl masih dijilat api, namun kebakaran kini sudah terkawal.
"Ia akan mengambil masa beberapa hari lagi untuk memadam sepenuhnya kebakaran ini," katanya, memaklumkan tiada kemungkinan kapal itu pecah.
Sumber: AFP


0 Comments