Kapal Angkasa Kargo China Tiba Ke Modul Stesen Angkasa Lepas

 


Foto: AFP


BEIJING: Sebuah kapal angkasa kargo China yang membawa kelengkapan dan bekalan berjaya tiba dan bercantum dengan modul utama stesen angkasa lepas masa depan negara itu hari ini.

Agensi berita Xinhua melaporkan, roket Long March 7 yang membawa kapal angkasa kargo Tianzhou-2 dipenuhi makanan, kelengkapan dan bahan api, berlepas semalam dari tapak pelancaran Wenchang yang terletak di kepulauan tropika Hainan.

Memetik Agensi Angkasa Bermanusia China (CMSA), agensi berita itu melaporkan percantuman dengan modul utama stesen angkasa lepas Tianhe disempurnakan pada jam 5.01 pagi waktu Beijing.

China perlu melaksanakan kira-kira 10 misi bagi melengkapkan pemasangan stesen angka lepas itu yang dinamakan Tiangong, di orbit.

Stesen angkasa lepas itu dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2022.

Apabila siap, ia dijangka mampu kekal berada di orbit rendah Bumi selama 15 tahun.

Susulan operasi Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) dijangka berakhir selepas 2028, Tiangong mungkin menjadi satu-satunya pangkalan untuk manusia di orbit Bumi.

Selepas kapal angkasa kargo itu berjaya bercantum, China merancang untuk memulakan persiapan untuk menghantar tiga angkasawan untuk membuka bungkusan makanan, yang merangkumi sajian seperti daging babi cincang dengan sos bawang putih dan ayam Kung Pao.

"Kami akan menghantar bahan sokongan, alat ganti dan kelengkapan yang diperlukan terlebih dahulu, sebelum menghantar kru kami," lapor Xinhua yang memetik Pengarah CMSA, Hao Chun.

Beijing menyuntik dana berbilion untuk program angkasa lepas negara itu dalam usaha menyaingi Russia dan Amerika Syarikat (AS), dengan matlamat melaksanakan beberapa projek di orbit Bumi serta menghantar kapal angkasa tanpa pemandu ke bulan dan Marikh.

Bagaimanapun, China dikritik AS dan sejumlah pakar kerana kemungkinan melanggar etika angkasa lepas apabila membiarkan sebuah kepingan roket bersaiz besar jatuh ke Bumi awal bulan ini selepas melancarkan modul utama Tianhe.

Walaupun pihak berkuasa China memaklumkan sedia bekerja sama dengan negara lain di atas stesen angkasa lepasnya, skop kerjasama itu masih belum jelas.

Namun, Agensi Angkasa Lepas Eropah sudah menghantar beberapa angkasawan ke China untuk menjalani latihan berkerja di dalam Tiangong apabila ia siap kelak. 

Sumber: AFP

Post a Comment

0 Comments