LONDON: Perdana Menteri Britain Boris Johnson dipindahkan ke unit jagaan rapi (ICU)pada Isnin (6 Apr) selepas gejala virus korona yang dialaminya bertambah buruk meskipun pejabatnya di Downing Street menyatakan beliau masih dalam keadaan sedar.
Britain tidak mempunyai perancangan penggantian rasmi jika perdana menterinya tidak dapat meneruskan tugas, namun Johnson, 55 tahun, sudah meminta Setiausaha Luar Dominic Raab supaya memangku jawatannya.
"Sepanjang petang ini, keadaan perdana menteri semakin bertambah buruk dan berdasarkan nasihat pasukan perubatannya, beliau dipindahkan ke unit jagaan rapi di hospital," menurut kenyataan media Downing Street.
"PM telah meminta Setiausaha Luar Dominic Raab ... untuk memangku jawatannya jika perlu," katanya.
PM Johnson dipindahkan ke ICU sekiranya beliau memerlukan alat bantuan pernafasan, tambah kerajaan Britain.
Johnson dimasukkan ke Hospital St Thomas di London pada Ahad dengan gejala demam dan batuk selepas diuji positif COVID-19 pada 27 Mac, menjadi pemimpin dunia yang paling berprofil tinggi dijangkiti penyakit tersebut yang sudah merebak dengan pantas di seluruh dunia.
PM Johnson sebelum ini mengasingkan diri di kediamannya di Downing Street tetapi pada petang Ahad dibawa ke hospital awam berhampiran atas nasihat doktornya.
Menurut para pegawai, ia adalah "langkah berjaga-jaga" tetapi sebelum ini tanda tanya mula timbul sama ada pemimpin Konservatif itu masih berupaya untuk memimpin negara.
Kerajaan Britain dikecam hebat kerana pada awalnya enggan mengikut jejak negara-negara Eropah lain yang mengarahkan para penduduk masing-masing supaya jangan keluar rumah sedang virus COVID-19 itu terus menular.
Johnson sendiri berkata pada awal Mac bahawa beliau masih berjabat tangan dengan orang ramai.
Namun dua minggu lalu, beliau mengarahkan perintah berkurung ke atas seluruh negara dan Britain kini di ambang penularan yang sangat serius.
Lebih 50,000 kes dan lebih 5,000 kematian dicatatkan setakat ini, dengan 439 kes baru dilaporkan dalam tempoh 24 jam baru-baru ini.
Sumber:
https://berita.mediacorp.sg/mobilem/dunia/pm-britain-dipindah-ke-icu-selepas-jangkitan-covid-19-makin/4427756.html


0 Comments