KANGAR - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima tempahan sebanyak 120 buah terowong nyah kuman daripada pelbagai pihak bagi membendung penularan wabak COVID-19. Terowong itu adalah hasil rekaan pegawai penyelidik UniMAP, Erdy Sulino Mohd Muslim Tan, Mat Nor Mohammad Ismail dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekatronik dan Pembuatan universiti berkenaan.
Naib Canselor UniMAP, Prof Ir. Ts. Dr R. Badlishah Ahmad berkata kos untuk menyiapkan terowong berukuran enam kaki lebar, sembilan kaki panjang serta lapan kaki tinggi itu berjumlah RM6,000 setiap unit, dengan mengambil kira kadar minimum kabus diperlukan di dalam terowong bagi mengelakkan pembaziran cecair pembasmi kuman. “Di samping menerima tempahan, kita juga menyumbang dua buah terowong kepada Hospital KPJ Pulau Pinang baru-baru ini dan sebuah lagi kepada Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perlis, katanya kepada media di sini, hari ini. Sementara itu, Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata terowong itu memberikan kemudahan kepada pegawai dan anggotanya untuk membersihkan diri selepas menunaikan tugas di lapangan dan sesiapa sahaja yang memasuki perkarangan IPK ini perlu terlebih dahulu melalui terowong ini. Kerajaan Negeri Perlis turut menyumbang tiga terowong yang ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah di Kangar, Arau dan Padang Besar.- BERNAMA SUMBER https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1828216
0 Comments