Tentera Laut Diraja Malaysia
Lebih dikenali dengan singkatannya, TLDM, merupakan salah satu cabang Angkatan Tentera Malaysia dan agensi utama yang bertanggungjawab ke atas operasi pengawasan dan pertahanan maritim negara. Penguasaan TLDM meliputi 603, 210 kilometer persegi, (hampir dua kali ganda keluasan daratan Malaysia, 329, 860 km persegi) merangkumi kawasan pesisiran dan zon ekonomi eksklusif milik negara tersebut.
TLDM juga memikul tanggungjawab mengawal Laluan Perhubungan Laut (bahasa Inggeris: Sea Lines of Communications, SLOC) utama negara seperti Selat Melaka dan Selat Singapura. TLDM turut mengawasi kepentingan negara di kawasan-kawasan yang mempunyai tuntutan bertindih seperti di perairan Spratly.
Kehadiran TLDM dapat dilihat di peringkat antarabangsa dalam operasi konvoi yang berterusan di Teluk Aden. Dari segi kekuatan kelengkapan dan keanggotaan, TLDM mempunyai keupayaan yang dikira setanding dengan kebanyakkan negara-negara ASEAN dan mempunyai tentera laut yang ketiga terbesar di dalam gabungan ini.
Dengan kekuatan konvensional yang sederhana, TLDM masih masih memerlukan penambahan platform dan kapal-kapal lain untuk beroperasi pada tahap terbaik. Hanya dengan pemodenan berterusan akan memastikan TLDM terus kekal sebagai satu angkatan yang seimbang dan berteknologi tinggi.

Tentera Laut Simpanan Sukarelawan Negeri Selat
Sejarah Tentera Laut Diraja Malaysia boleh bermula dengan pembentukan Tentera Laut Simpanan Sukarelawan Negeri Selat - Straits Settlement Naval Volunteer Reserve (SSNVR)- yang telah ditubuhkan oleh kerajaan kolonial British Negeri-negeri Selat pada 27 April 1934 di Singapura. SSNVR ditubuhkan untuk membantu Tentera Laut Diraja British mempertahankan kawasan perairan Tanah Melayu ekoran perkembangan dan pergolakan politik di Asia di mana Empayar Jepun sedang meluaskan kuasa dan pengaruhnya. Pembentukan sebuah cawangan di Pulau Pinang menyaksikan berkembangnya SSNVR.
![]() |
| HMS Laburnum |
Pada 18 Januari 1935, pihak pentadbiran tertinggi (Admiralty) Royal Navy telah menghadiahkan SSNVR di Singapura dengan sebuah kapal korvet kelas Flower, HMS Laburnum untuk berkhidmat sebagai kapal utama dan kapal latihan SSNVR. Kapal ini telah berlabuh di pangkalan di Telok Ayer Basin. HMS Laburnum malangnya telah ditenggelamkan oleh tentera Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua.

Apabila Perang Dunia Kedua meletus di Eropah, SSNVR telah meningkatkan pengambilan rekrut bagi mengukuhkan pertahanan Tanah Melayu memandangkan unit- unit Royal Navy diperlukan di medan operasi Eropah. SSNVR juga telah dikerahkan untuk perkhidmatan aktif sebagai unit dalam Royal Navy Malay Section, juga dipanggil Royal Malay Navy ataupun Malay Navy dengan kekuatan seramai 400 orang anggota. Pasukan ini telah menjalani latihan di HMS Pelandok, Sembawang,di Singapura. Keanggotaan Malay Navy kemudiannya meningkat kepada 1450 orang apabila perang meletus di Asia Tenggara.
Sepanjang Perang Dunia Kedua, Malay Navy berkhidmat di bawah tentera bersekutu dan ditugaskan bersama-sama dibawah panji-panji Royal Navy.Laskar-laskar Malay Navy terlibat bersama Royal Navy di medan operasi di Lautan Hindi dan Lautan Pasifik dan sebilangan mereka terkorban ketika ini. Ramai juga yang telah berkhidmat dengan cemerlang, antaranya ialah Able Seaman Ramli Mohd Said yang telah dianugerahkan pingat Pacific Star oleh kerajaan British. Apabila perang tamat dengan penyerahan kalah Jepun pada tahun 1945 hanya sekitar 600 anggota melapor diri semula. Pada tahun 1947, pasukan Malay Navy yang kecil ini telahpun dibubarkan akibat kemelesetan ekonomi.
Era selepas Perang Dunia Kedua
Pada 24 Disember 1948, Darurat diisytiharkan di Tanah Melayu akibat ancaman pengganas komunis. Menyedari kepentingan tentera laut bagi membendung ancaman komunis, pihak British mengaktifkan semula Malay Navy dan kali ini digelar Malayan Naval Forces , MNF. Tarikh 4 Mac 1949 menyaksikan hari perasmian dan penubuhan Malayan Naval Forces yang berpangkalan di HMS Malaya, Woodlands, Singapura.
Misi utama MNF ialah mengawasi pesisir pantai Tanah Melayu bagi menghalang pengganas komunis daripada memperoleh bantuan bekalan melalui jalan laut. Angkatan ini juga diberi tugas mengawal laluan ke Singapura dan pelabuhan-pelabuhan lain.
Malayan Naval Forces dibekalkan dengan sebuah frigat kelas River HMS Test yang turut digunakan sebagai kapal latihan. Pada tahun 1950 pula dengan sebuah kapal minelayer bekas tentera Jepun, juga dinamakan HMS Laburnum, sebuah LCT, HMS Pelandok, sebuah kapal penangkap ikan, HMS Panglima, sebuah kapal torpedo HMS Simbang, dan beberapa kapal kecil lagi.
Gelaran Diraja
Pada bulan Ogos 1952, Ratu Elizabeth II telah mengurniakan gelaran ‘Diraja’ kepada MNF, menjadikan MNF kini dikenali sebagai Tentera Laut Diraja Malaya (Royal Malayan Navy) di atas perkhidmatan MNF yang cemerlang ketika Darurat. Kapal-kapal TLDM kini mempunyai imbuhan HMMS: Her Majesty's Malayan Ship sebelum namanya.

Senarai pangkalan TLDM
· TLDM Lumut, Perak (Markas Armada)
· TLDM Tanjung Gelang, Pahang (Markas Wilayah Laut I)
· TLDM Teluk Sepanggar, Sabah (Markas Wilayah Laut II)
· TLDM Bukit Malut, Langkawi (Markas Wilayah Laut III)
· TLDM Sejingkat, Sarawak
· TLDM Tanjung Pengelih, (KD Sultan Ismail) Johor
· TLDM Kota Kinabalu
· TLDM Sandakan, Sabah
· TLDM Semporna, Sabah
· Pusat Hidrografi Negara, Pulau Indah, Selangor
Senarai Stesen Komunikasi
· SK TLDM Setiawan, Perak.
· SK TLDM Parit, Perak.
· SK TLDM Kuantan, Pahang.
· SK TLDM Kota Kinabalu
Senarai Unit PSTL (Pasukan Simpanan)
· PSTL Kuching, Sarawak.
· PSTL KD Tawau, Sabah.
· PSTL Sandakan, Sabah.
· PSTL Sri Likas, Sabah.
· PSTL Labuan, Wilayah Persekutuan.
· PSTL Setiu, Terengganu (Dipindahkan dari PSTL Chendering, Terengganu.)
· PSTL Tok Bali, Kelantan.
· PSTL KD Sri Pinang, Pulau Pinang. (Pusat Latihan PSSTLDM)
· PSTL KD Sri Manjung, Perak.
· PSTL KD Sri Klang, Selangor.
· PSTL KD Sri Medini, Johor.
Semua kapal dalam armada TLDM membawa imbuhan awalan KD yang bermaksud Kapal Diraja ataupun KLD yang bermaksud Kapal Layar Diraja.
INTEL
https://www.facebook.com/1997947263860291/photos/a.1997947520526932/1997962200525464/?type=1&theater
http://securemalaysia.blogspot.com/2009/01/malay-navy-in-world-war-ii.html



0 Comments