Diiktiraf sebagai penempatan paling sejuk dan berpenghuni di dunia, perkampungan kecil Oymyakon di pedalaman Rusia ini hanya mampu dihuni oleh orang yang benar-benar lasak, berdaya tahan tinggi termasuk kanak-kanak.
Dengan jumlah penduduk dianggarkan kurang 900 orang mengikut rekod 2018, kanak-kanak di Oymyakon menjalani kehidupan seperti budak di tempat lain, meskipun dalam suhu mencecah -50 darjah Celsius.
Terdapat sebuah sekolah di situ yang hanya akan ditutup apabila suhu menurun kepada -52 darjah Celsius. Ini bagi murid tahun satu hingga empat yang berusia kurang 11 tahun.
Untuk pelajar di atas 11 tahun pula, yang lebih tahan lasak, mereka hanya dibenar berada di rumah apabila suhu menurun kepada -56 darjah Celsius.
Secara purata, suhu Oymyakon sepanjang tahun adalah -50 darjah Celsius pada siang yang memerlukan kanak-kanak lebih kental menahan kesejukan untuk ke sekolah.
"Mereka dilihat ke sekolah dengan diiringi ibu bapa dan kerap juga dengan anjing peliharaan. Murid dari kampung sebelah juga menaiki bas ke sekolah berkenaan.
"Perjalanan dengan bas akan mengambil masa antara 10 ke 18 minit," kata jurugambar tempatan, Semyon Sivtsev kepada Siberian Times seperti dilapor Oddity Central.
Menurut jurugambar itu, dia merakam gambar kehidupan kanak-kanak di Oymyakon bermula jam 9 pagi, 8 Disember lalu di bawah suhu -51 darjah Celsius.
"Bayangkan kesejukan yang perlu dirasai? Saya terpaksa memakai sarung tangan sepanjang masa yang mana sangat tidak selesa.
"Tetapi jika tidak, jari saya akan membeku. Jadi saya hanya dapat mengambil gambar dalam tempoh singkat sahaja," katanya.
Pada Disember, matahari hanya terbit pada jam 10 pagi, yang bermaksud cuaca masih gelap dan sangat sejuk ketika kanak-kanak berkenaan ke sekolah. Mereka perlu bertahan sehingga jam 5 petang sebelum dibenarkan pulang ke rumah.


0 Comments